Roket dan sperma atau benih lelaki semestilah dua perkara yang berbeza. Yang satunya ciptaan manusia dan yang satu lagi adalah ciptaan Maha Pencipta. Namun, ada beberapa ciri dan fungsi yang hampir sama antara keduanya.
Misi
Misi sebuah roket secara amnya
adalah sebagai kenderaan pelancar yang menghantar beban tanggung bersamanya ke
sasaran dengan kecepatan tinggi. Sekiranya roket berkenaan roket angkasa maka
beban tanggungnya adalah satelit contohnya. Sekiranya roket itu roket
ketenteraan, maka beban tanggungnya adalah bahan peledak.
Sperma pula berperanan menghantar
nukleus yang mengandungi maklumat pewarisan genetik si bapa seperti warna mata,
bentuk telinga dan sebagainya ke ovum si ibu. Maka, jika diselarikan dengan
roket, nukleus pada sperma merupakan beban tanggung kepada sperma tersebut.
Struktur
Binaan sebuah
roket pada amnya mempunyai sistem bahan api
atau enjin yang dipanggil propellan di bahagian bawah roket sebagai
sumber bekalan tenaga untuk roket meluncur. Manakala beban tanggung pula berada
di bahagian atas sebuah roket. Bahagian luar roket atau badan roket dinamakan
sebagai fiuslaj . Terdapat struktur sirip (fin) di bahagian bawah fiuslaj dan muncung
(nose cone) pada bahagian atas fiuslaj bagi memudahkan pergerakan roket
meluncur di udara.
Sperma mempunyai unit-unit
penghasilan tenaga iaitu mitokondria-mitokondria di bahagian tengah dan membekalkan tenaga ke
bahagian ekor sperma untuk membantu pergerakan sperma. Manakala nukleus yang
mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) terdapat pada bahagian kepala sperma.
Sperma mempunyai lapisan membran plasma di bahagian luarnya seperti sel-sel
yang lain. Di bahagian hujung sperma terdapat struktur akrosom yang mengandungi
enzim untuk memecahkan ovum bagi tujuan persenyawaan.
Hanya beban
tanggung meneruskan tujuan
Apabila roket
angkasa telah menghantar beban tanggung iaitu satelit ke orbit sasarannya, maka
satelit akan berpisah dengan bahagian yang lain dan meneruskan tujuannya. Bahagian
roket yang lain pula akan jatuh termusnah. Roket telah mencapai misinya dalam
tugas penghantarannya.
Apabila satu sperma telah menembusi membran plasma ovum iaitu benih si ibu, maka bahagian ekor sperma akan terputus. Ovum hanya membenarkan satu sperma sahaja menembusinya. Bahagian nuklues yang mengandungi DNA akan terpisah dengan bahagian kepala sperma di dalam ovum dan meneruskan pergabungan membentuk zigot seterusnya janin (fetus). Bahagian-bahagian sperma yang lain akan termusnah.
Kesimpulannya, roket dan sperma
mempunyai peranannya masing- masing. Persamaan yang cukup jelas antara keduanya
ialah sebagai penghantar kepada misinya.